Surat JAIPk yang tular mengenai keputusan mesyuarat panel halal.
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


PERMOHONAN Pensijilan Halal Malaysia sebuah restoran India popular di Jalan Changkat Jong di Teluk Intan gagal selepas didapati tidak mematuhi syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Yusri Abdul Rani berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Perak pada 27 Disember tahun lalu.

Katanya, ia berikutan pemeriksaan mendapati pihak restoran berkenaan didapati tidak komited dengan prosedur Pensijilan Halal Malaysia bagi mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sudah ditetapkan.

“Restoran berkenaan didapati tidak memenuhi syarat yang ditetapkan dalam aspek kebersihan dan tiada lantikan penyelia halal.

“Bekalan bahan mentah di premis berkenaan bagaimanapun didapati tiada masalah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

eliau diminta mengulas surat yang tular dalam WhatsApp hari ini menyatakan permohonan pensijilan halal premis makanan yang terkenal di Teluk Intan dengan hidangan ayam goreng itu, gagal selepas tidak komited dengan prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Yusri berkata, berikutan itu, premis berkenaan diminta untuk tidak menggunakan sebarang penandaan halal pada premis makanan mereka.

“Bagaimanapun kegagalan permohonan premis berkenaan itu tidak menghalang mereka memohon semula sijil halal selepas mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebuah restoran makanan daun pisang iaitu Restoran Vinayagar Hutan Melintang, Bagan Datuk dikesan menggunakan tanda halal tidak sah dalam operasi yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 17 Januari, lalu.

“Pemilik restoran berkenaan didapati beragama Hindu dan premis itu mempunyai penandaan halal tetapi ia bukan pemegang sijil halal dan tindakan diambil oleh pihak KPDNHEP mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan (Takrif Halal) 2011,” katanya.

Dalam pada itu, Yusri berkata, orang ramai diminta lebih berhati-hati dan peka dalam memastikan premis makanan yang dimiliki bukan Islam mempunyai sijil halal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 8:26 PM