Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


KONTRAKTOR dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini atas tuduhan memukul bapa mentuanya, Disember lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Ma’aruf Esmam, 35, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan tangan terhadap bapa mentuanya yang berusia 62 tahun sehingga menyebabkan kesakitan pada belakang bahu kanan dan ibu jari kedua-dua tangan mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Ayer Height, kira-kira 1.30 pagi pada 30 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari yang melakukan pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menanggung isteri dan empat anak, ibu serta bapanya, selain mempunyai hutang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000, selain memberi amaran supaya tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Mohd Firdaus turut menetapkan 27 Mac depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila mangsa cuba meleraikan pertengkaran di antara tertuduh dan isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 6:43 PM
Tertuduh diiringi polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul bapa mentuanya. FOTO Rasul Azli Samad