Laporan Harian Metro sebelum mengenai kejadian berkenaan.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my

SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Itu yang berlaku ke atas seorang lelaki yang terbabit kes rogol dan samun seorang surirumah di Paka, Dungun, Oktober tahun lalu.

Suspek berusia 27 tahun dikenali Usop Ayam menjadi buruan polis selama 98 hari sebelum berjaya diberkas di rumahnya di Kampung Lombong, Paka, minggu lalu (20 Januari).

Penahanannya disahkan Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah.

“Mangsa dipanggil untuk pengecaman, mengesahkan suspek terbabit menyamun dan merogolnya.

“Dia masih dalam tahanan reman dan kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 392/397 dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 5.40 pagi, 5 Oktober tahun lalu, surirumah berusia 30 tahun sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran suspek yang menceroboh rumah sewanya.

Dia ketika itu baru lima bulan berkahwin dan tinggal sendirian kerana suami bekerja di Kuala Lumpur.

Suspek dilapor hanya memakai seluar dalam dan bertopeng muka serta mengajak suspek mengadakan hubungan seks, sebelum mangsa menolak ‘pelawaan’ itu tetapi diugut dengan gunting di leher.

Mangsa dirogol dan dia cedera di paha kiri akibat terkena gunting ketika bergelut dengan suspek yang kemudian mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai dan barang berharga.

Suspek melarikan wang tunai RM200 dan sebuah telefon bimbit.

Berita berkaitan

'Dahla kau samun, kau rogol pula'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 6:08 PM