Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


TIGA beradik dan seorang lelaki yang terbabit dalam kes tembakan di Kampung Cabang Tiga Bagus, Rantau Panjang, semalam direman empat dan tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Muhammad Yusoff Abdullah di Mahkamah Majistret Pasir Mas.

Tiga beradik berusia antara 22 hingga 26 tahun direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen Seksyen 3 dan 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Manakala, reman lelaki berusia 47 tahun selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 427 dan 447 Kanun Keseksaan kerana khianat dan menceroboh premis.

NSTP semalam melaporkan, penduduk di Kampung Cabang Tiga Bagus, Rantau Panjang dikejutkan dengan tiga das tembakan yang dilepaskan di kawasan terbabit.

Tembakan berkenaan dilepaskan sekitar 10.40 pagi sebelum penduduk memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui tiga kelongsong peluru 9mm selain terdapat kesan darah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 4:56 PM
Lelaki berusia 47 tahun dibawa keluar selepas perintah tahanan reman diperoleh. FOTO Zaman Huri Isa.
Tiga beradik ditahan reman tujuh hari susulan kes tembakan. FOTO Zaman Huri Isa.