Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


SIASATAN awal polis mendapati kematian bayi lelaki berusia sembilan bulan semalam, selepas diambil dari rumah pengasuh di Manjung, Jumaat lalu, didapati tiada sebarang unsur penderaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada pendarahan dalam kepala iaitu terdapat darah beku.

Menurutnya, laporan juga mendapati tiada sebarang unsur penderaan atau kecederaan fizikal ditemui pada tubuh mangsa.

“Pihak polis sudah menerima tiga laporan berkaitan kes kanak-kanak meninggal dunia dan dalam kejadian itu mangsa dihantar ke rumah pengasuh di kuarters Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung dalam keadaan yang tidak sihat dan dikatakan sudah tiga hari demam.

“Dalam jagaan pengasuh, kanak-kanak itu tidak sedarkan diri dan tindakan serta merta sudah diambil oleh pengasuh dan ibunya dengan membawanya ke Hospital Seri Manjung (HSM).

“Namun keadaan kanak-kanak berkenaan agak kritikal dan pihak HSM segera merujuk dan menghantar mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, selepas sehari berada di Unit Rawatan Rapi HRPB, mangsa meninggal dunia dan bedah siasat dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.

Bagaimanapun, katanya, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Akhbar hari ini melaporkan, Muhammad Firas Danial Muhammad Nizar meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) HRPB pada jam 2.49 petang, semalam.

Bayi lelaki berusia sembilan bulan itu meninggal dunia akibat pendarahan serius di kepala disyaki didera pengasuh di Kuarters IPD Manjung, Jumaat lalu.

Ibunya, Nur Aziemah Zahari, 26, dilaporkan berkata dia dihubungi kakaknya yang turut tinggal di kuarters berkenaan pada 10.30 pagi memaklumkan anak tunggalnya dalam keadaan lemah di rumah pengasuh berkenaan.

Katanya, pengasuh berusia 30 tahun itu memberitahu dia menyedari keadaan anak lelakinya dalam keadaan lemah di ruang tamu selepas wanita berkenaan keluar dari tandas.

“Ketika mengambil anak di rumah pengasuh berkenaan, suami pengasuh yang bekerja sebagai anggota polis menyerahkan anak kepada saya sebelum saya membawanya ke HSM.

“Firas dipindahkan ke PICU HRPB pada 2 petang hari sama (Jumaat) kerana doktor di HSM memaklumkan pembuluh darah di kepala anak saya mengalami pendarahan serius dipercayai akibat gegaran kuat dan memerlukan rawatan di HRPB.

“Hasil pemeriksaan X-ray doktor di hospital berkenaan turut memaklumkan tiada tanda tersedak susu, bagaimanapun tiada kesan lebam di luar badan anak saya,” katanya.

Nur Aziemah yang bekerja sebagai kerani di sebuah kuari di Seri Manjung berkata, dia menghantar anak tunggalnya ke rumah pengasuh berkenaan sejak tiga minggu lalu kerana kakaknya yang sebelum ini menjaga Muhammad Firas sudah mula bekerja.

Berita berkaitan

Pengasuh tak berdaftar dengan JKM

Kenapa bayi kami meninggal? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 1:09 PM