Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


BURUH didakwa di Mahkamah Sesyen di Pasir Mas, hari ini, atas tuduhan menyeludup lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar.

Tertuduh, Mohd Syafiq Che Sekrey, 32, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan penyeludupan terhadap lapan migran lelaki warga Myanmar berusia 20 hingga 40 tahun dengan kereta Proton Waja di pangkalan haram Lubok, Rantau Panjang, jam 7.30 pagi, pada 17 Januari 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan, Nor Kamilah Mohammad dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 11:14 AM