Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


SEORANG wanita membuat laporan polis selepas diintai ketika berada di tandas awam sebuah pusat beli-belah di Jalan Penampang Bypass, Penampang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa berusia 20-an yang bekerja sebagai pembantu kedai menyedari seorang lelaki mengintainya dari bawah pintu tandas.

Suspek terus melarikan diri selepas disedari mangsa dan wanita itu cuba mengejar namun gagal.

Kejadian itu turut disedari oleh adik mangsa yang melihat suspek lelaki berusia 20-an keluar dari tandas wanita.

Mangsa kemudian membuat aduan kepada pengawal keselamatan di pusat beli-belah itu sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan suspek terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengganggu dengan mendatangkan aib.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 9:21 AM