KERETA Proton Wira biru digunakan suspek untuk melakukan jenayah curi tabung derma dan melanggar anggota polis di Jalan Besar Paka, Dungun, semalam. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


SEORANG lelaki nekad mengundurkan keretanya dan melanggar anggota polis ketika dia cuba ditahan dalam kejadian di Jalan Besar Paka, Dungun, petang semalam.

Suspek berusia 37 tahun dan adik iparnya iaitu seorang wanita berusia 42 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan polis selepas berlaku pergelutan.

Dalam kejadian 2.15 petang semalam, suspek bersama adik iparnya itu yang menaiki sebuah Proton Wira berwarna biru dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Tiga anggota polis dari Balai Polis Paka menghampiri kereta suspek dan sebaik memperkenalkan diri, lelaki itu bertindak mengundurkan kenderaannya dengan laju.

Tindakan itu menyebabkan seorang anggota polis dilanggar, namun hanya cedera ringan di kaki.

Dua lagi anggota polis kemudian sempat menarik suspek keluar dari kereta sebelum menahannya.

Sebaik ditahan, polis mendapati suspek adalah orang yang dicari berhubung beberapa kes kecurian duit tabung derma di beberapa premis di Dungun dan Kemaman.

Dalam kejadian terbaru 23 Januari lalu, tabung derma madrasah di Kuantan yang diletakkan di kaunter stesen minyak di Paka didapati hilang.

Sebaik membuat pemeriksaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kerani stesen minyak berkenaan mendapati seorang lelaki memakai baju berwarna jingga dan bertopi itu melarikan tabung berisi wang dianggarkan RM300.

Suspek kemudiannya dilihat melarikan diri dengan menaiki Proton Wira berwarna biru sama seperti ketika dia ditangkap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit.

Katanya, suspek yang berasal dari Felda Ketengah Jaya itu kemudiannya dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

“Siasatan mendapati suspek lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 380 dan 457 Kanun Keseksaan.

“Suspek turut memiliki tiga rekod jenayah lampau berhubung kesalahan dadah dan polis meneruskan siasatan sama ada suspek terbabit dengan beberapa kes kehilangan tabung derma di daerah ini serta daerah lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 9:46 PM