MOHD Zizi bersama Nabila Akma bergambar di puncak Bukit Harimau Menangis. FOTO ihsan pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


“SAYA tak mampu nak upah jurugambar perkahwinan macam orang lain, sebab itu terpaksa mencari idea kreatif untuk pastikan gambar perkahwinan kami menarik dan unik untuk dijadikan kenangan,” kata Mohd Zizi Azran, 21, dari Kampung Baru, Kemasik, Chukai.

Mohd Zizi bersama pasangannya, Nabila Akma Azman, 21, menjadi perhatian selepas gambar perkahwinan mereka yang dirakam di puncak Bukit Harimau Menangis di Kemasik tular di media sosial sejak kelmarin.

Pasangan yang berkenalan sejak 2016 itu selamat diijab kabulkan jam 10 pagi Jumaat lalu sebelum mereka mendaki Bukit Harimau Menangis pada jam 5 petang untuk merakam gambar perkahwinan berkenaan.

Kesungguhan pasangan dua sejoli itu mendaki bukit dengan berpakaian pengantin mencuri tumpuan sekali gus menjadi pengantin pertama bergambar di puncak bukit itu.

Mohd Zizi berkata, idea bergambar di puncak bukit itu datang secara spontan memandangkan dia dan isterinya tidak mengupah jurugambar pernikahan.

“Saya dan isteri ingin mencipta kenangan tersendiri. Biarpun hanya menggunakan kamera telefon bimbit masing-masing kami tetap berpuas hati.

“Kalau nak diikutkan, memang mencabar mendaki bukit itu dengan busana persandingan, lebih-lebih lagi ini kali pertama kami mendaki bukit berkenaan.

“Namun, demi mencipta kelainan dan memperoleh gambar yang berlatar belakangkan pemandangan cantik, kami gagahkan diri mendakinya,” katanya yang berkerja sebagai mekanik kereta.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana pendakian selama 45 minit itu turut disertai 20 ahli keluarga dan rakan.

“Sangat meletihkan kerana kami tidak pernah terbabit dengan aktiviti lasak seperti ini namun sebaik saja sampai ke puncak dan melihat pemandangan, rasa penat serta-merta hilang.

“Kami sangat puas hati dengan gambar perkahwinan yang diambil di puncak bukit itu dan ia akan menjadi kenangan terindah sepanjang hidup,” katanya.

Sementara itu, Nabila Akma berkata, pada mulanya dia berasa tidak yakin untuk memanjat bukit itu kerana tidak mempunyai pengalaman mendaki.

“Bagaimanapun atas dorongan suami, ahli keluarga dan rakan, saya bersetuju dan mendakinya. Memandang permukaan tidak rata, saya dan suami terpaksa menggunakan kasut sukan yang lebih sesuai tetapi kekal berpakaian pengantin kerana di puncak bukit tiada tempat persalinan.

“Walaupun proses pendakian amat memenatkan namun berbaloi kerana kami berjaya merakam gambar perkahwinan yang lain daripada lain,” katanya.

Menurutnya, dia sangat terharu dengan kesungguhan suaminya berusaha memastikan gambar perkahwinan mereka menarik.

“Saya bangga sebab walaupun tanpa khidmat jurugambar profesional, gambar yang diambil ahli keluarga dan rakan tetap cantik dan unik.

“Selepas ini saya akan kerap mengajak suami menjalankan aktiviti mendaki bukit berkenaan yang sudah menjadi sebahagian daripada kenangan perkahwinan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 4:41 PM