Nur Lela Zulkipli
Nurlela@nstp.com.my


LELAKI warga India dikenakan denda RM400 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas kesalahan menceroboh dan melintas trek Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Taman Paramount kerana bimbang lewat ke tempat kerja pada 20 Januari lalu.

Tertuduh, Jaswinder Singh, 19, mengaku bersalah atas kesalahan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Jaswinder yang juga seorang pekerja kilang dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 4.15 petang di Platform 1 Stesen LRT Paramount dan boleh dihukum mengikut Seksyen 62 Akta Keretapi 1991 (Akta 463) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan pengguna lain.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon supaya hukuman denda yang ringan dikenakan terhadap anak buahnya kerana tertuduh sudah pun menginsafi perbuatan itu.

“Tertuduh sudah pun berada dalam reman polis selama lapan hari sejak hari ditangkap dan denda juga turut dikenakan.

“Memandangkan kesalahan yang dilakukan tidak membabitkan kerugian mana-mana pihak, saya mohon denda yang paling ringan dikenakan terhadapnya,” katanya.

Suraj dalam rayuannya turut memberitahu mahkamah bahawa tertuduh melakukan kesalahan berkenaan kerana sudah terlambat ke tempat kerja.

Sementara itu, dalam prosiding sama, seorang ibu tunggal dijatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah mencuri beberapa barangan dari sebuah pasar raya pada 25 Januari lalu.

Tertuduh, Nazipah Ab Aziz, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di Pasaraya Giant Taman Sri Manja dan mencuri enam bekas coklat Ferrero Rocher, empat unit minyak wangi dan dua unit losyen yang keseluruhannya bernilai RM241.49.

Mengikut fakta kes yang dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran, pengadu yang juga pengawal keselamatan pasar raya itu memerhatikan tindakan mencurigakan tertuduh yang memasukkan beberapa barangan ke dalam bakul sebelum seterusnya menuju ke kaunter pembayaran.

“Selepas membuat pembayaran, pengadu pergi ke arah tertuduh dan meminta tertuduh mengemukakan bukti resit pembayaran.

“Namun, hasil pemeriksaan mendapati tertuduh hanya membuat pembayaran bagi beberapa barangan dan tidak membayar sejumlah lagi barangan lain yang diambil,” katanya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan ibu empat anak itu menjalani hukuman penjara dua bulan lagi sekiranya denda gagal dibayar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis pasar raya itu pada 9 malam mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya hendaklah dihukum penjara dengan denda atau sebat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman yang lebih ringan atas alasan dia menghidap penyakit asma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 2:50 PM