Nor Shahida mendukung Nor Hayfa yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my

“SAYA dan suami seperti pengemis kerana terpaksa membuang perasaan malu kami semata-mata untuk mencari dana bagi pembedahan pemindahan hati anak yang dijadualkan akhir bulan depan,” kata Nor Shahida Chit Wan, 38.

Ibu tiga cahaya mata itu berkata, dia dan suami, Muhammad Azrul Ahmad, 40, bertungkus-lumus mencari dana untuk membiayai kos pembedahan anak bongsu mereka, Nor Hayfa yang menghidap kanser hati berjumlah RM160,000.

Nor Shahida berkata, keadaan hati anaknya pula kini pada tahap kritikal dan hanya bergantung kepada ubat sekali gus memerlukan pembedahan pemindahan organ dilakukan dengan segera.

“Doktor yang merawat anak saya sudah memaklumkan apabila Hayfa berusia dua tahun hatinya rosak dan gagal untuk berfungsi sepenuhnya yang mana dia hanya perlu bergantung kepada ubat semata-mata.

“Oleh itu, saya dan suami mahu melakukan pembedahan pemindahan hati di Shanghai, China pada 27 atau 28 Februari ini yang sudah dijadualkan bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) namun buntu apabila kos masih tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Tuna, Seberang Jaya semalam.

Terdahulu, Nor Shahida bersama suaminya dikunjungi beberapa pihak yang prihatin dengan nasib anaknya dan akan mengadakan jelajah bermotosikal secara solo bagi membantu mengumpul dana yang diperlukan.

Menurutnya, dia dan suami mengenepikan perasaan malu dengan mengedarkan risalah berkaitan penyakit yang dihidap anaknya di sekitar kawasan Seberang Perai termasuk memuatnaik ke laman sosial Facebook bagi mengumpul dana yang diperlukan.

“Setakat ini, kami hanya memperoleh RM11,500 dan masih banyak lagi yang diperlukan bagi menampung kos pembedahan Hayfa tidak termasuk dengan kos perjalanan, penginapan serta makan minum kami di sana.

“Masa pula semakin suntuk dan kami berharap akan ada yang terbaik untuk Hayfa tidak lama lagi,” katanya yang berterima kasih kepada semua pihak termasuk rakyat Malaysia yang membantu mereka sekeluarga.

Katanya, suaminya bersedia mendermakan hati kepada anaknya dan akan menjalani pemeriksaan apabila tiba di China kelak.

“Jika hati suami tidak sesuai, saya akan derma dan jika tidak sesuai juga, anak sulung saya akan derma dan kami buat ini semuanya kerana mahu menyelamatkan Hayfa dengan berharap dia dapat sembuh sepenuhnya,” katanya.

Nor Hayfa dikesan menghidap penyakit itu sejak dia berusia dua minggu dan kerap berulang alik ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

Lebih menyedihkan, bapanya pula diuji apabila diberhentikan kerja memandangkan terpaksa mengambil cuti bagi menjaga dan menghantarnya ke hospital.

Nor Shahida yang hanya mengambil upah menjahit baju tidak memperoleh pendapatan tetap sekali gus menyukarkan kehidupan keluarga itu.

Sementara itu, Muhammad Tamizie Jidin, 33, berkata, dia akan memulakan jelajah mengumpul dana bagi kanak-kanak itu dari 3 hingga 9 Februari ini.

“Saya akan jelajah dengan menunggang motosikal ini secara bersendirian di seluruh Semenanjung.

“Justeru, bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak ini dapat memberitahu saya lebih awal supaya dapat mengatur hala tuju destinasi dengan lebih baik,” katanya.

Untuk mengetahui maklumat lanjut boleh melayari laman sosial Facebook ‘solo ride for charity’ atau menderma ke akaun Maybank Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia (551575307417) yang tampil untuk menguruskan segala keperluan diperlukan keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 2:22 PM