SERAMAI 16 orang ditahan dalam gerakan di Kajang.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
cnews@nstp.com.my


LETAK nyawa bayi dalam bahaya. Itu tindakan pasangan suami isteri yang dikesan berkongsi ‘minat’ menagih dadah syabu di kediaman mereka di Kajang di sini.

Pasangan berusia 30-an itu didapati dalam keadaan khayal ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di kediaman dihuni jam 3 petang semalam.

Pengarah Penguatkuasaan AADK, Zainuddin Abdullah berkata, operasi dilakukan pihaknya di sekitar daerah Hulu Langat, Balakong, Kajang dan Beranang, Selangor bagi membasmi kegiatan penagihan serta pengedaran dadah.

“Dalam operasi dilakukan oleh anggota AADK Hulu Langat ini, seramai 16 individu diberkas selepas didapati terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Tangkapan membabitkan 13 lelaki dan tiga wanita yang didapati positif mengambil dadah.

Turut ditahan sepasang suami isteri di Kajang, Selangor. Mereka didapati positif mengambil dadah syabu susulan ujian air kencing dilakukan.


PASANGAN suami isteri ditahan menagih dadah sedangkan bayi mereka terabai.

“Tindakan menagih dadah syabu ini membimbangkan kami berikutan bayi berusia enam bulan itu dibiarkan tanpa jagaan sempurna,” katanya.

Menurutnya, seorang penjawat awam yang dikenal pasti kakitangan sebuah hospital kerajaan turut ditahan pegawai AADK.

“Pemeriksaan mendapati lelaki terbabit positif ujian saringan air kencing dan didapati mengambil syabu.

“Susulan itu semua individu terbabit dibawa ke Mahkamah Kajang untuk tahanan reman. Mereka akan diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” katanya.

Menurutnya, operasi dilakukan dalam usaha menyekat aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di daerah Hulu Langat di sini.

“Orang ramai mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak AADK,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 12:16 PM