MASZLEE. FOTOArkib NSTP
Mohamed Farid Noh
farid_noh@nstp.com.my


KEMENTERIAN Pendidikan menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan kadar makanan sehari di sekolah berasrama penuh (SBP) dikurangkan daripada RM18 kepada RM14.50.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, dakwaan berkenaan bukan sahaja tidak benar, malah disifatkan sebagai fitnah.

Katanya, kadar makanan sehari di SBP kekal dan tidak pernah berubah.

“Kementerian ingin menafikan fitnah itu. Najib seharusnya menyiasat serta membuat ‘homework’ dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan secara melulu.

“Lebih baik saya tawarkan beliau (Najib) peluang mengajar di kawasan pedalaman sebagai menebus dosa lalu beliau. Saya yakin banyak yang beliau boleh ajarkan kecuali jangan mengajar mengenai curi duit rakyat, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil,di Kluang, hari ini.

Semalam, Najib yang juga bekas Presiden UMNO dilaporkan mendakwa kadar makanan sehari di SBP dikurangkan daripada RM18 kepada RM14.50.

“Baru dapat tahu Kerajaan Pakatan Harapan telah mengurangkan kadar makanan sehari di SBP daripada RM 18 kepada RM14.50.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu tak terlintas nak buat perkara ini ,” katanya menerusi hantaran di akaun Twitter miliknya, semalam.

Sementara itu, Maszlee berkata, kementerian akan membuat kenyataan rasmi berkaitan isu mewajibkan semua pelajar melengkapkan persekolahan dari darjah satu sehingga tamat tingkatan lima, sebaik perkara itu dimuktamadkan.

“Ketika ini kajian dan perincian sedang dilakukan Jawatankuasa Khas kementerian termasuk untuk mengkaji semula Akta Pendidikan bagi mewajibkan pelajar negara ini mengikuti 12 tahun pendidikan wajib.

“Ini bukan perkara baharu kerana negara maju sudah melaksanakan pendidikan wajib 12 tahun ini sejak dulu lagi, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 11:55 AM