LIMA paket syabu seberat lima gram.
REMAJA ditahan bersama lima paket syabu.
TIGA suspek ditahan melawan arus bagi meloloskan diri.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


TIDAK ubah seperti tindakan cuba membunuh diri semata-mata mahu meloloskan diri dari sekatan jalan raya dilakukan pihak polis.

Itu tindakan dilakukan sekumpulan mat rempit di kalangan pelajar sekolah apabila sanggup menunggang motosikal melawan arus sehingga nyaris melanggar pejalan kaki sewaktu cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan dilakukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut di sini, semalam.

Bagaimanapun, tindakan kumpulan mat rempit dipatahkan sepasukan anggota bermotosikal yang menyamar sebagai orang awam.

Anggota polis terbabit berjaya mengejar serta menahan tiga remaja termasuk dua pelajar sekolah yang cuba meloloskan diri dari sekatan jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, tiga remaja lelaki berusia 15 hingga 17 tahun terbabit ditahan selepas bertindak menunggang motosikal melawan arus sewaktu Op Motosikal dilaksanakan di lokasi itu bermula jam 10 malam.

“Dua suspek berusia 15 dan 16 tahun itu berjaya di tahan di bahu Jalan Tun Perak manakala seorang lagi berusia 17 tahun di tahan di Jalan Dang Wangi selepas dikejar sepasukan anggota bermotosikal.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati remaja masing-masing menunggang motosikal model Honda EX5 terbabit tidak mempunyai lesen.

“Hasil soal siasat mendapati dua daripada mereka masih bersekolah, manakala seorang lagi tidak bersekolah dan bekerja di kedai makan.

“Selain itu, kami turut menahan seorang remaja berusia 19 tahun dan hasil pemeriksaan menemui lima paket dadah disyaki jenis syabu seberat lima gram,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Zulkifly berkata, pihaknya turut menahan empat lelaki berusia 16 hingga 21 tahun menerusi Op Samseng Jalanan yang dilaksanakan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) bermula jam 12 tengah malam.

Katanya, tiga daripada suspek didapati menunggang motosikal secara berbahaya dengan membuat aksi Superman.

“Dua daripadanya menunggang motosikal model Yamaha Y15Z dan seorang lagi menunggang motosikal Modenas Kriss.

“Salah seorang daripada mereka adalah pelajar tingkatan empat yang masih bersekolah manakala selebihnya sudah bekerja.

“Menerusi dua operasi berkenaan sebanyak 350 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Manakala tujuh individu ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahya (ADB) 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 11:51 AM