PEGAWAI perubatan memeriksa keadaan mangsa. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya
cnews@nstp.com.my


LELAKI warga emas maut selepas digilis kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Ulu Lang, Sibu, petang semalam.

Malah, beberapa ayam peliharaannya turut mati dalam kejadian itu.

Difahamkan, warga emas berusia 81 tahun itu bekerja sebagai penjual ayam tua.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa dilanggar dari arah belakang ketika sedang menunggang motosikal berseorangan untuk pulang ke rumahnya di Lorong lada.

“Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Yiing Siu Ting. Nahas berlaku jam 4.30 petang ketika mangsa dalam perjalanan ke arah Ulu Lanang dari pusat bandar.

“Polis kini sedang berusaha mengesan pemilik kereta berkenaan dan saksi kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu proses siasatan,” katanya.

Mayat dibawa ke Bilik Mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 11:24 AM