Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


PENGEDAR dadah ditahan bersama 54.99 gram pelbagai jenis dadah di Plaza Tol Sedenak, Kulai, awal pagi hari ini.

Lelaki berusia 53 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dan Bahagian Pencegahan Jenayah, Keselamatan dan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah, 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, polis menahan suspek yang ketika itu memandu Proton Perdana berwarna hitam di plaza tol berkenaan.

“Selepas ditahan, polis menjalankan pemeriksaan pada suspek, namun tidak menemui sebarang dadah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang dipandunya membawa kepada penemuan satu beg kecil berzip yang mengandungi sepeket plastik lut sinar berisi dadah disyaki heroin seberat 28.52 gram dan sepeket plastik lut sinar berisi bahan hablur disyaki syabu seberat 25.89 gram.

“Turut ditemui, sekeping ‘aluminium foil’ (kerajang aluminium) berwarna merah atau perak mengandungi dua biji pil disyaki eramin 5 seberat 0.58 gram,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua dadah yang dianggarkan bernilai RM3,000 itu dirampas dan dibawa ke IPD Kulai bersama suspek untuk siasatan lanjut.

Katanya, ujian saringan air kencing suspek mendapati suspek positif methamphetamine.

“Semakan mendapati suspek memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 8:51 PM