ROSLAN maut selepas motosikal ditunggangi bersama anak bongsunya dirempuh motosikal lain. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad
cnews@nstp.com.my


HASRAT seorang pengawal keselamatan membeli aiskrim buat anak bongsunya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Jalan Utama Taman Kelisa Ria di Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, Roslan Hussain, 48, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya bersama anak bongsunya, Nur Qaseh, 4, dilanggar sebuah motosikal lain.

Bagaimanapun, anak bongsunya itu hanya mengalami cedera ringan di bahagian mulut.

Anak sulung mangsa, Salsabila, 15, berkata, adik bongsunya itu meminta untuk dibelikan aiskrim selepas ayahnya pulang dari tempat kerjanya semalam.

“Adik memang suka makan aiskrim, selalunya arwah abah akan beli dalam jumlah yang banyak dan disimpan dalam peti ais tetapi malam tadi, aiskrim adik habis dan dia minta belikan.

“Abah keluar dengan adik lepas makan malam dan tak lama kemudian jiran memberitahu abah kemalangan,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Kelisa Ria, hari ini.

Salsabila berkata, selepas kejadian semalam, ibunya, Nuridayu Dorlah, 39, mengatakan sebelum keluar ayahnya ada menyatakan tidak mahu ke tempat kerja hari ini tanpa sebab.

“Lepas kejadian semalam, ibu cakap sebelum keluar abah beritahu dia yang abah tak mau pi (tidak mahu pergi) kerja dah mulai hari ini, tak sangka itu menjadi petanda abah nak tinggalkan kami selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal jenis Honda Ex5 merempuh mangsa yang dikatakan keluar dari simpang secara tiba-tiba.

“Penunggang bersama pembonceng motosikal berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari arah Jalan Utama Taman Kelisa Ria menghala ke surau taman berkenaan.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash dilanggar oleh motosikal terbabit sebelum terjatuh dan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian,” katanya.

Adzli berkata, siasatan awal di tempat di kejadian mendapati jalan di kawasan kemalangan tidak mempunyai sebarang penanda jalan yang jelas.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 11:50 AM