Wong ketika mengundi sempena PRK Parlimen Cameron Highlands di SJK (C) Bertam Valley, Cameron Highlands, hari ini. Foto Aizuddin Saad
Wartawan NSTP
am@hmetro.com.my


CALON Bebas, Wong Seng Yee sudah menjangkakan kehilangan wang deposit RM10,000 apabila hanya mendapat 276 undi.

Menurutnya, kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands itu bagaimanapun, tidak melunturkan semangatnya untuk bergerak membantu masyarakat di daerah itu.

“Saya memang pun bersedia kehilangan wang deposit itu tapi itu tidak bermakna saya tidak boleh membantu masyarakat di sini menggunakan cara sendiri.

“Kemenangan BN ini juga membuktikan masyarakat Orang Asli masih terhutang budi dengan jasa kerajaan sebelum ini yang banyak membantu mereka,” katanya ketika ditemui di penjumlahan rasmi undi di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata, Cameron Highlands, malam hari ini.

Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi parlimen itu selepas calonnya, Ramli Md Noor menang dengan majoriti lebih besar, 3,238 undi.

Beliau memperoleh 12,038 undi keseluruhan daripada 89 saluran undi sehingga penjumlahan tamat 8.30 malam.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis.

Calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran memperoleh 8,800 undi, diikuti dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing memperoleh 314 dan 276 undi.

Calon bertanding akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Ditanya harapannya kepada ahli parlimen yang baru dipilih itu, Wong berkata, Ramli diharap dapat membangunkan lagi ekonomi masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 10:15 PM