BERNAMA

TUJUH lelaki yang leka menghisap dadah dalam sebuah rumah yang dijadikan ‘sarang’ mereka ditahan polis dalam serbuan di rumah berkenaan di Jalan Bukit Kecil Juru, Bukit Tengah, Bukit Mertajam malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah itu jam 10.30 malam tadi dan menahan tujuh lelaki berusia 19 hingga 27 tahun.

“Ketika serbuan mereka sedang menghisap dadah dan langsung tidak melarikan diri kerana masing-masing berada dalam keadaan khayal berikutan berada di bawah pengaruh bahan terlarang itu,” katanya hari ini.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dalam rumah itu, polis menemui dua paket kecil dadah jenis methamphetamine bernilai RM1,000 dan peralatan yang diubah suai untuk menghisap dadah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mereka menjadikan rumah sewa milik seorang daripada yang ditahan itu sebagai sarang menghisap dadah sejak tahun lalu.

Katanya, ujian air kencing mendapati tujuh lelaki itu positif dadah dan lima daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 9:29 PM