Bidah bersama suaminya kecewa selepas pusat pengundian di SK Betau ditutup jam 3.30 petang. FOTO Farizul Hafiz Awang
T N Alagesh dan Nik Sukry Ramli
cnews@nstp.com.my


SURI rumah terlepas peluang untuk mengundi selepas tiba lewat dua minit di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Betau, Lipis.

Bidah Bahnab, 42, yang kini menetap di Bidor, Perak, mengambil masa tiga jam perjalanan untuk balik mengundi, namun dimaklumkan pengawal keselamatan sekolah berkenaan bahawa pusat mengundi sudah ditutup tepat jam 3.30 petang.

Bidah adalah daripada suku kaum Semai dan menetap di Kampung Kabang, dekat Pos Betau, sebelum berpindah ke Perak tiga tahun lalu.

Suaminya, Ah Kiong, 52, berkata, dia tidak dapat memandu laju kerana dua anaknya berusia tujuh dan sembilan tahun muntah ketika dalam perjalanan kerana laluan yang berbengkang-bengkok.

“Anak kami beberapa kali muntah ketika dalam perjalanan tadi, jadi saya terpaksa memandu perlahan... jalan ke sini juga mempunyai selekoh bahaya, jadi kena berhati-hati.

“Isteri saja yang masih berdaftar sebagai pengundi di sini, saya sudah memindahkan nama untuk mengundi di sana (Perak)... masa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kami sempat balik mengundi, kali ini kami tak bernasib baik,” katanya.

Ah Kiong berkata, mereka bertolak dari Bidor, Perak jam 11 pagi kerana menyangka pusat mengundi ditutup jam 5.30 petang.

Katanya, mereka sekeluarga perlu bergegas pulang ke Perak hari ini juga memandangkan empat lagi anak dan cucu dijaga saudara di sana.


Petugas SPR Azmil Along (kanan) menutup pagar SK Betau yang menjadi pusat mengundi selepas tamat tempoh pengundian jam 3.30 petang. FOTO Farizul Hafiz Awang

Pusat mengundi SK Betau mempunyai 1,345 pengundi berdaftar adalah pusat mengundi paling lewat ditutup bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.

Pilihan Raya Kecil PRK Cameron Highlands hari ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran; calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor dan dua calon BEBAS, Sallehudin Ab Talib dan Wong See Yee.

Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 6:07 PM