Anggota bomba memotong pokok kelapa yang menghempap kediaman Normidah. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin
cnews@nstp.com.my


EMPAT sekeluarga menempuh detik menakutkan selepas pokok kelapa sepanjang 10 meter menghempap kediaman mereka di Jalan Tebuk Rukun, Parit Baru Baroh, Sabak Bernam hari ini.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, Normidah Abdul Majid, 52, bersama keluarganya sedang tidur sebelum dikejutkan dentuman kuat yang menggegarkan kediaman mereka.

Difahamkan, ketika kejadian cuaca hujan dan berangin kuat.

Normidah berkata, dia menyangka dentuman kuat itu bunyi guruh sebelum menyedari pokok kelapa berusia 60 tahun menghempap bilik tidur anak lelakinya, Abdul Majid Abdul Manaf, 32.

“Sebaik terjaga, saya dan suami bergegas ke bilik anak dan terkejut melihat batang pokok kelapa menimpa bumbung biliknya,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur ahli keluarganya selamat dalam kejadian itu.

“Dia (Majid) baru mengalami kemalangan jalan raya dua hari lalu dan patah kaki kanan. Jadi dia hanya terbaring saja di biliknya.

“Tidak sangka, pokok kelapa tumbang menghempap bilik tidurnya namun hanya bahagian bumbung dan siling bilik rosak,” katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa pokok kelapa di sekeliling rumahnya berisiko tinggi dan berharap tuan tanah mengambil tindakan segera termasuk menebang bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Penolong Penguasa Bomba Mohd Saufi Zakaria berkata, sepasukan lapan pegawai dan anggota bersama jentera FRT dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.25 pagi.

“Anggota segera melakukan kerja pembersihan dan menggunakan mesin gergaji bagi memotong batang pokok kelapa itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 5:55 PM