GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


DEMI mencari duit poket, empat remaja lelaki bertindak memecah masuk sebuah rumah inap desa di Kampung Pagar Museh, Karangan, Kulim, sebelum mencuri peralatan di dalamnya untuk dijual.

Bagaimanapun, tindakan mereka berusia antara 14 hingga 15 tahun itu mengundang padah apabila ditahan polis di rumah masing-masing di sekitar kampung terbabit, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, pemilik inap desa berusia 38 tahun itu menyedari premisnya dipecah masuk apabila dihubungi jiran memberitahu terlihat suspek menceroboh, jam 10 malam kelmarin.

Menurutnya, mangsa kemudian datang untuk memeriksa rumah inap desanya pada 10 pagi semalam sebelum mendapati dua cermin tingkap di bahagian dapur ditanggalkan, manakala pintu dapur terbuka.

“Dia yang masuk untuk membuat pemeriksaan mendapati televisyen LCD, kipas, periuk nasi, cerek elektrik, jam dinding, pam tilam angin dan bantal hilang,

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Kob untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, bertindak atas laporan pihak polis kemudian mengesan suspek sebelum menahan mereka di kediaman masing-masing bermula jam 9 malam hingga 11.30 malam.

“Suspek yang masih bersekolah itu mengaku masuk ke dalam rumah terbabit untuk mencuri bagi mencari duit poket.

“Ketika kejadian dua daripada mereka masuk ke dalam sementara dua lagi menunggu di luar,” katanya.

Katanya, suspek kini ditahan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 11:20 AM