PETUGAS SPR membuat persedian untuk undi awal di Balai Polis Sungai Koyan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P078, Cameron Highlands. FOTO/FARIZUL HAFIZ AWANG
Mohd Nasaruddin Parzi
cnews@nstp.com.my


BUAT pertama kalinya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat liputan lintas langsung menerusi Facebook Live (FB Live) perjalanan hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Lintas langsung itu akan merangkumi proses membuang undi, kiraan undi sehingga pengumuman rasmi keputusan, yang dijadual diumumkan SPR selewat-lewatnya jam 10 malam ini.

Turut disiarkam secara lintas langsung itu, sesi penerimaan peti undi yang sudah dikira, berlangsung di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands.

Dijangka, penerimaan peti undi di pusat penjumlahan rasmi undi hanya akan dapat disaksikan bermula jam 5 petang ini.

Orang ramai berpeluang melihat sendiri perjalanan sepanjang proses pengundian dan kiraan undi itu menerusi FB Live SPR.

Proses membuang undi bagi PRK Parlimen Cameron Highlands bermula jam 8 pagi ini, berlangsung di 29 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan Jelai.

Sebaik pusat pengundian ditutup, petugas SPR akan memulakan proses kiraan kertas undi yang turut disaksikan wakil setiap calon yang bertanding.

Seterusnya, peti undi yang selesai dikira akan dibawa dan dikumpulkan di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands, lokasi sama pengumuman keputusan PRK.

Pada hari penamaan calon 12 Januari lalu, SPR juga membuat lintas langsung sebagai sebahagian daripada inisiatif baharu serta pembaharuan yang dibuat mereka kali ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 6:58 AM