Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


POLIS menumpaskan Geng Along Besi yang aktif mencuri besi penutup longkang di sekitar Putrajaya selepas menahan 10 lelaki termasuk dua dalang utama pada 17 dan 19 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, semua individu berusia 18 hingga 47 tahun yang ditahan itu adalah pemilik premis barang lusuh, pekerja premis barang lusuh dan individu yang mencuri besi berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menyerbu rumah di Taman Prima Kajang pada 17 Januari lalu.

“Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai individu yang mencuri besi penutup longkang berkenaan,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, susulan tangkapan berkenaan sepasukan polis kemudian menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Bukit Mewah, Ampang dan menahan seorang lelaki berusia 37 tahun.


MAZLAN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian besi penutup longkang yang dirampas pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku mencuri besi berkenaan sebelum dijual di dua premis barang lusuh di Sungai Chua, Kajang.

“Polis kemudian menyerbu dua premis barang lusuh terbabit dan menahan lapan individu termasuk dua pemilik premis berkenaan dan lima warga asing.

“Polis menemui 80 besi penutup longkang diletakkan di dalam kereta Perodua Alza dan Wira Aeroback yang digunakan suspek untuk mencuri.

“Hasil siasatan mendapati dua individu ini mencuri 332 besi penutup longkang di Presint 8, Presint 11 dan Taman Putra Perdana, Presint 1,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kerugian akibat kecurian besi penutup longkang berkenaan dianggarkan RM29,880.

Katanya, semua suspek ditahan reman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

“Selain itu, mereka turut disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Polis mengingatkan kepada pemilik premis barangan lusuh supaya tidak membeli barangan disyaki curi bagi mengelakkan dikenakan tindakan,” katanya.

Terdahulu, satu video rakaman kamera litar tertutup (cctv) tular di media sosial pada awal bulan ini memaparkan dua lelaki sedang mencuri besi penutup longkang di kawasan sekitar Putrajaya dan menimbulkan kegelisahan kepada penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 5:40 PM