MUHYIDDIN (dua dari kanan) beramah mesra bersama Jentera BERSATU selepas sidang media sempena PRK Cameron Highlands di Sungai Koyan, Lipis, hari ini. FOTO Bernama.
T N Alagesh dan Nik Sukry Ramli
cnews@nstp.com.my


KEHADIRAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sepatutnya tidak dijadikan isu.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun ia bukan amalan biasa dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN), namun kedatangan Mahathir bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan bertemu Perdana Menteri selepas perubahan kerajaan pada Mei tahun lalu.

“Memanglah ia (kunjungan Perdana Menteri) bukan perkara yang (biasa) dilakukan kerajaan terdahulu...kalau zaman dulu, memang saya tahu kerana saya pernah dilantik sebagai Pengarah pilihan raya...sekarang kerajaan baharu dan bukan sahaja Perdana Menteri, bahkan pemimpin (parti komponen) lain akan turut sama (membantu).

“Sebelum ini, Tun (Dr Mahathir) pun turun ke (PRK) Port Dickson dan selepas ini di (PRK) Semenyih juga kita akan lihat semua (pemimpin) akan turut bersama bagi memastikan kemenangan calon kita,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Bersama Jentera PRK BERSATU di Bilik Gerakan BERSATU Cameron Highlands di Kampung Kuala Medang, Lipis, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Muhyiddin berkata, kehadiran Dr Mahathir bukanlah bermakna calon PH bagi PRK Cameron kali ini sudah hampir kalah.

“Kehadiran Tun (Dr Mahathir) bukanlah bermakna calon kita hampir kalah... ini adalah bukti komitmen kita (dalam PH) untuk sama-sama membantu calon daripada parti komponen kita,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penyebaran video kononnya beliau menghulurkan sumbangan wang tunai kepada seorang wanita warga tua ketika berkempen di Cameron Highlands, Muhyiddin menafikan perkara itu dan menjelaskan ia adalah video lama disebarkan semula pihak tidak bertanggungjawab.

“Itu video lama... kejadian berkenaan berlaku ketika saya meninjau keadaan banjir di Pulau Pinang (penghujung 2017)... saya turun untuk melihat masalah penduduk terbabit dalam banjir.

“Ada yang kata ia (dirakam) ketika kempen PRK Cameron Highlands... itu tidak benar, kerana hari ini baru saya sampai ke sini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 4:35 PM