SEORANG bekas pengurus kanan produk di sebuah syarikat disambung reman dua hari lagi bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan bernilai lebih RM2 juta di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Suhaila Shahrul Annuar
cnews@nstp.com.my


REMAN seorang bekas pengurus kanan produk di sebuah syarikat dilanjutkan dua hari lagi sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan bernilai lebih RM2 juta.

Majistret Ahmad Afiq Hasan membenarkan permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh reman lelaki itu bermula esok untuk disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Selasa lalu, suspek berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.35 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan dan direman tiga hari bermula Rabu lalu hingga hari ini.

Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati suspek menerima suapan bernilai lebih RM2 juta daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi meluluskan nota kredit untuk tujuan rebat, insentif dan pengiklanan komponen komputer kepada penjual yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit.

Selain suspek, beberapa lagi individu sedang dikesan SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 11:15 AM