SYED Agil
Mohd Nasaruddin Parzi
cnews@nstp.com.my

PENGANALISIS politik berpendapat biarpun Barisan Nasional (BN) dilihat memiliki peluang untuk mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands, mereka tetap berdepan laluan sukar.

Pensyarah di Jabatan Sosiobudaya Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) yang juga penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menjelaskan setakat ini, BN dilihat berjaya menguasai isu dan sentimen untuk menarik pengundi.

Beliau berkata, pembangkang itu juga meyakinkan PAS untuk mengukuhkan kerjasama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), sekali gus dilihat membuka peluang kepada BN menambah undinya, Sabtu ini.

“Usaha kepemimpinan PAS membawa penyokongnya mengundi BN pada PRK kali ini dilihat lebih meyakinkan (berbanding PRK sebelumnya).

“Ini bermakna pengundi PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kini ditarik (digesa) untuk mengundi BN. Sejauh mana penerimaan penyokong PAS untuk mengundi calon BN bergantung juga kepada kempen kepemimpinan PAS pada minggu terakhir ini,” katanya.

Beliau juga meramalkan, jika BN berjaya mengekalkan rekod kemenangan di parlimen berkenaan, mungkin dengan majoriti undi yang tipis.

Sejak PRU 2004, walaupun BN menang di Cameron Highlands, namun trend undi majoriti diperoleh mereka menunjukkan penurunan untuk tiga PRU berikutnya.

AWANG Azman.

BN menang dengan majoriti selesa 6,260 undi pada PRU 2004, sebelum turun mendadak pada PRU 2008 kepada 3,117 undi.

Majoriti terus menjunam kepada 462 undi pada PRU 2013, namun naik sedikit kepada 597 undi pada PRU Mei lalu.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, memasuki hari terakhir berkempen, kedua-dua parti dilihat mempunyai kelebihan tersendiri.

Beliau berkata, beberapa kriteria dijangka menentukan pola pengundian pada PRK kali ini dengan isu dan faktor tempatan dilihat menjadi keutamaan yang akan mencorakkan undi.

“Calon kalangan masyarakat Orang Asli menjadi calon popular. Lebih 50 peratus daripada pengundi adalah masyarakat Melayu dan Orang Asli, menunjukkan terdapat potensi besar calon daripada kaum itu dipilih kali ini.

“Kebanjiran isu membabitkan ekonomi, sosial dan sistem politik juga satu faktor penentu kepada sokongan bakal pengundi kepada kedua-dua parti. Banyak keluhan dan masalah rakyat akhirnya akan diterjemahkan dalam peti undi ini,” katanya.

Beliau berkata, mengambil kira PRK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Seri Setia yang memberi kemenangan kepada calon tempatan membuktikan pengundi di kawasan itu percaya kewibawaan calon tempatan dapat menyelesaikan masalah mereka.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 10:59 AM