TAN Sri Mohamad Fuzi Harun. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


MALAYSIA kini berada di tangga ke-25 negara paling aman di dunia menerusi laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2018.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, GPI turut mengiktiraf Malaysia sebagai negara kedua paling aman di Asia Tenggara selepas Singapura.

“Pengiktirafan itu secara tidak langsung dapat meningkatkan rasa selamat dan mengurangkan kadar ketakutan jenayah dalam kalangan pelancong ke negara ini,” katanya ketika menghadiri program Ronda Cegah Jenayah membabitkan pelatih PULAPOL Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Datuk Seri Rosli Ab Rahman, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Mohamad Fuzi berkata, bagi mengurangkan lagi indeks jenayah, polis akan menempatkan pelatih PULAPOL untuk melakukan penugasan rondaan di kawasan panas.

Beliau berkata, penugasan berkenaan bermula sepanjang musim cuti perayaan Tahun Baru Cina ini.

“Langkah ini bukan saja akan membantu pemantauan jenayah di kawasan panas, malah memberi manfaat kepada pelatih PULAPOL.

“Ia kerana penugasan ini akan membantu mereka memperoleh pengalaman dalam tugasan di lapangan.

“Bagaimanapun, bukan semua pelatih akan menjalani penugasan berkenaan, sebaliknya hanya akan diberikan kepada pelatih terpilih sahaja,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, indek jenayah negara mencatatkan penurunan sebanyak 11.9 peratus apabila hanya 88,662 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, pada tahun lalu jumlah nilai ambang kes ditetapkan sebanyak 100,611 kes dan ia mencatatkan penurunan sebanyak 11,949 kes.

“Berdasarkan jumlah itu, kes kecurian motosikal masih menjadi penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 26,779 kes.

“Penurunan indeks jenayah turut dicatatkan di semua negeri termasuk ibu negara yang mencatatkan 12,127 kes berbanding nilai ambang ditetapkan iaitu 13,605 kes.

“Jumlah itu adalah penurunan sebanyak 10.9 peratus atau sebanyak 1,481 kes,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 5:30 PM