MOHD Sheriff (empat dari kiri) bersama Azman (empat dari kanan) serta tetamu menggaul Yee Sang ketika Majlis Apresiasi Media PLUS sempena Tahun Baru Cina di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Saddam Yusoff.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


PENGGUNA Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) boleh menikmati Teh O dan Kopi O dengan harga RM1 pada 2,3,9 dan 10 Februari ini di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) terpilih.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, promosi istimewa berkenaan adalah daripada rakan niaga PLUS yang ditawarkan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina.

“Selain itu, pengguna dengan pembelian RM38 di dalam satu resit di mana-mana hentian R&R PLUS akan diberikan beg ‘buah tangan’.

“Pengguna PLUSMiles yang berdaftar turut diberikan mata ganjaran dengan setiap kilometer akan diberikan satu mata ganjaran,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Media di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Ketua Pegawai Operasi PLUS Zakarian Ahmad.

Azman berkata, ganjaran itu ni boleh ditebus dalam bentuk tambah nilai tol di Pusat Khidmat Pelanggan PLUS atau secara dalam talian.

Beliau berkata, mata ganjaran itu diberikan kepada pelanggan kenderaan Kelas 1 yang menjadi ahli PLUSMiles berdaftar.

Pada majlis itu, PLUS melancarkan iklan terbaru Tahun Baru Cina PLUS.

Iklan memaparkan nilai kekeluargaan antara seorang ayah dan anak itu adalah pertama kali diterbitkan PLUS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 4:43 PM