Gambar hiasan
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


WANG simpanan RM21,688 untuk majlis perkahwinan bakal pengantin di Kepala Batas, lesap ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud di media sosial pada 10 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa seorang lelaki berusia 32 tahun dan pasangannya berusia 29 tahun mahu membuat pinjaman sebanyak RM100,000, namun diminta sindiket untuk membayar wang pendahuluan bagi tujuan bayaran proses.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa dari Permatang Pauh mendakwa menerima mesej menerusi WhatsApp sebelum berminat dengan iklan pinjaman itu.

Katanya, mangsa menghubungi nombor telefon yang diberikan dan bercakap dengan tiga lelaki daripada syarikat Master Credit Sdn Bhd yang menawarkan pinjaman peribadi.

“Mangsa kemudian bersetuju membuat pinjaman berjumlah RM100,000 untuk kegunaan bagi memajukan syarikat.

“Namun dia diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran termasuk bayaran membuka akaun, bayaran ansuran pendahuluan sebanyak enam bulan, bayaran buka akaun keselamatan, cukai perkhidmatan dan jualan (SST) dan bayaran insurans,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa kemudiannya membuat 10 transaksi pindahan wang dalam talian dan memindahkan sejumlah RM21,688 ke dalam enam akaun pelbagai bank, bagaimanapun masih diminta untuk buat tambahan bayaran.

“Mangsa tidak setuju dan berasa tertipu dengan ejen berkenaan meminta wangnya untuk dikembalikan.

“Ejen itu tidak mengendahkan permintaan mereka sebelum mangsa membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Noorzainy berkata, polis masih menyiasat kes berkenaan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan seperti ini kerana hakikatnya peminjam tidak perlu membuat sebarang bayaran untuk proses pinjaman.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak perlu membuat sebarang pinjaman menerusi iklan yang disiarkan dalam laman sesawang dan dalam talian bagi mengelakkan terus terpedaya dalam sindiket penipuan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 3:42 PM