ASHARI ketika sidang media sempena PRK Parlimen Cameron Highlands di Hotel Cool Point, Cameron Highlands. FOTO/ABDULLAH YUSOF
Shaarani Ismail
shaarani@nstp.com.my


Cameron Highlands: Polis mengesahkan menerima laporan daripada kakitangan yang juga pemandu Pejabat Hutan Raub berkaitan tular kenderaan pejabat itu digunakan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Isnin lalu tular di media sosial kenderaan milik Pejabat Hutan Raub digunakan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Tengku Raja Puji bagi tujuan kempen.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, jam 4.50 petang, kelmarin.

“Kes dirujuk kepada laporan awal berkaitan kejadian. Malah kes ini juga dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menerusi laporan polis dibuat pemandu berkenaan mendakwa sudah memaklumkan kepada Timbalan Menteri berkenaan bahawa kenderaan Pejabat Hutan Raub tidak boleh digunakan bagi tujuan kempen.

Laporan berkenaan turut menyebut, timbalan menteri terbabit didakwa berdegil dan meminta kenderaan berkenaan diserahkan kepada pembantunya bagi tujuan mengambil peralatan muzik tradisional di sebuah kampung.

Pemandu berkenaan dalam laporannya berkata, selepas satu jam, pembantu timbalan menteri terbabit kemudian menyerahkan semula kenderaan itu.

Ketika itu pembantu timbalan menteri berkenaan memaklumkan kenderaan digunakan ditahan penyokong Barisan Nasional (BN) dan menafikan kenderaan berkenaan dipandu olehnya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 9:01 AM