ANGGOTA polis menjalankan tanggungjawab membuang undi awal PRK Parlimen P078 Cameron Highlands di Balai Polis Brinchang, kelmarin.
Shaarani Ismail
shaarani@nstp.com.my


Cameron Highlands: Calon dan jentera parti bertanding perlu bekerja keras bagi memastikan semua pengundi dapat keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih, Sabtu ini.

Perkara itu perlu diberikan keutamaan khusus sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang berdepan kekangan logistik dan sukar untuk dimasuki.

Mengikut perancangan, sebahagian besar Pusat Mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands ditutup awal sebelum jam 5 petang.

Difahamkan, hanya empat Pusat Mengundi dibuka sehingga jam 5.30 petang iaitu di DUN Tanah Rata.

Kebimbangan berhubung penutupan awal 25 pusat mengundi bermula jam 1 tengah hari hingga 4 petang itu turut disuarakan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar dilaporkan berkata, keputusan itu boleh memberikan kesan kepada pengundi khususnya pengundi luar.

Bagi penganalisis politik yang juga Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri, keadaan itu mungkin satu yang biasa dalam urusan pilihan raya.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai alasan tersendiri mengapa pusat berkenaan ditutup awal.

“Keadaan itu semestinya akan memberikan kesan kepada semua pihak iaitu calon dan parti politik yang bertanding.

“Di sinilah mereka perlu mencari penyelesaian terbaik bagaimana untuk memastikan semua pengundi di kawasan yang dikenal pasti dapat dibawa keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab mereka.

“Apa yang penting adalah bagaimana mereka mahu memastikan setiap usaha yang dibuat bagi membawa keluar pengundi mengundi tidak melanggar syarat ditetapkan SPR,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Katanya, berdasarkan pemerhatian sepanjang kempen ada beberapa perkara dilihat melanggar peraturan ditetapkan SPR.

Menurutnya, jika dilihat sokongan untuk kedua-dua parti utama yang bertanding pada PRK kali ini adalah setara malah boleh dikatakan tepu.

Achmad berkata, ini kerana pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan PRU-14 Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti undi tidak begitu besar.

Jelasnya dalam hal itu, BN seboleh-bolehnya berusaha untuk mengekalkan sokongan mereka khususnya di DUN Jelai yang ketika ini diwakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pakatan Harapan (PH) pula mahu mengekalkan sokongan mereka di DUN Tanah Rata yang ketika ini diwakili DAP melalui Chiong Yoke Kong.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, memasuki minggu kedua kempen, pihak bertanding seharusnya mengetahui fokus dan usaha boleh dilakukan bagi memastikan undi memihak kepada mereka.

Katanya, persaingan kini dilihat sengit dengan BN berusaha mempertahankan kubu mereka di Jelai manakala PH menerusi calonnya M Manogaran juga dilihat cuba untuk menembusi kawasan berkenaan dengan menjalankan kempen secara agresif.

“Melihat kepada nama besar pemimpin PH yang turun berceramah di kawasan FELDA dan perkampungan Orang Asli menjadi kubu BN, sudah pasti PH juga mahu melakukan terbaik dalam memastikan undi kali ini memihak kepada mereka.

“Dengan undi diterima PH dan BN pada PRU lalu kelihatan setara, sejauh mana keberkesanan kempen kali ini dilihat dapat memberikan kesan besar kepada pengundi.

“Beberapa faktor iaitu pengundi luar yang dijangka tidak akan pulang dua kali kerana faktor kos, pola perubahan pengundi India, serta isu semasa membabitkan janji PH juga tidak boleh diambil mudah kerana ia memberikan kesan kepada pengundi,” katanya.

Beliau berkata, PH mungkin mempunyai kelebihan kerana mentadbir kerajaan Persekutuan, tetapi kekuatan BN juga tidak boleh dinafikan.

Strategi BN dengan mengetengahkan calon tempatan, Ramli Mohd Noor yang juga Orang Asli dilihat memberikan kelebihan terhadap pengundi Orang Asli di kawasan itu.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 7:01 AM