LAPORAN portal berita Harian Metro, Ahad lalu mengenai warden asrama ditahan kerana melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap pelajar di bawah jagaannya.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


WARDEN asrama sekolah menengah agama di Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka yang direman Ahad lalu kerana didakwa melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap pelajar di bawah jagaannya, dipercayai cuba membunuh diri ketika berada dalam lokap polis.

Ketua Polis negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata guru Sains berusia 40 tahun itu cuba membunuh diri dengan terjun daripada tempat tinggi sehingga mengalami patah pinggang.

“Kami dapati ada cubaan bunuh diri, jadi kami terpaksa memberi jaminan polis untuk suspek mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

“Bagi kes berkaitan, kami sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri dan akan merujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, Melaka, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, suspek direman kerana melakukan amang seksual dan seks luar tabii terhadap pelajar Tingkatan Satu sekolah terbabit.

Susulan itu, pelajar berkenaan membuat laporan di Balai Polis Pulau Sebang.

Raja Shahrom berkata, siasatan ke atas suspek mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan sudah lengkap.

“Bagaimanapun, kami perlu menunggu sehingga suspek sembuh daripada kecederaan pinggangnya,” katanya.

Berita berkaitan

'Kan dah patah pinggang'

'Perbuatan jijik warden asrama'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 7:12 PM