SULTAN Muhammad ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April 2017.
BERNAMA

SULTAN Kelantan Sultan Muhammad V, adalah raja yang bersahaja tanpa terikat protokol apabila mendampingi rakyat.

Tempoh dua tahun memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 sejak 13 Disember 2016, ternyata meninggalkan kesan di hati sebagai raja berjiwa rakyat, berhemah, rendah diri dan pandai berjenaka.

Sultan Muhammad V menamatkan pemerintahan apabila meletakkan jawatan pada 6 Januari lalu.

Sikap baginda yang bersahaja walaupun bergelar Yang di-Pertuan Agong, malah beberapa tindakan spontan baginda ketika menjalankan tugas rasmi seperti titah baginda ‘sila duduk jangan lari’ menjadi ungkapan dan ingatan popular dalam kalangan rakyat.

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada tanggal 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan dididik dari kecil dengan nilai pekerti serta tingkah laku berasaskan agama Islam dan ilmu keduniaan yang luas.

Seorang raja yang tidak terlalu berprotokol dan sering mengenakan pakaian jubah, baginda amat mengambil perhatian dalam hal ehwal agama dan kebajikan rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda sendiri.

Antara program diadakan hasil ilham baginda adalah program Qiam With Me dan Walkathon Diraja yang bermula sejak 2011 di Kelantan.


SULTAN Muhammad gemar mengenakan jubah dan tidak terlalu mengikut protokol apabila bertemu rakyat.

Ketika Hari Raya Haji yang menyaksikan umat Islam menunaikan ibadah korban, Sultan Muhammad V turut terlibat menyembelih haiwan korban – suatu yang amat jarang dilakukan sendiri oleh raja.

Sifat cakna baginda terhadap kebajikan rakyat terserlah antaranya ketika bencana banjir besar melanda Kelantan pada 2014 apabila baginda turun ke lokasi kejadian dan melawat rakyat di pusat pemindahan.

Mewujudkan suasana mesra supaya rakyat tidak kekok, baginda sering membahasakan diri sebagai ‘kita’ dan lemah lembut dalam pertuturan apabila bertemu rakyat.

Keprihatinan baginda terhadap rakyat tiada mengenal batasan. Kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara yang mengorbankan 23 nyawa pada September 2017 menjadi perhatian Sultan Muhammad V yang mencemar duli meluangkan masa meninjau lokasi kejadian selain bertemu pihak pengurusan tahfiz untuk menzahirkan simpati dan mendapat maklumat langsung.

Dalam bidang pentadbiran negara, Sultan Muhammad V yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April 2017, adalah ketua negara di bawah pentadbiran Barisan Nasional semasa pelantikannya dan menyaksikan peralihan kerajaan yang bertukar kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) susulan kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

Sultan Muhammad V memberi ruang luas kepada sistem demokrasi di Malaysia terus subur dengan memastikan berlaku perubahan tampuk kuasa yang pertama kali dalam sejarah Malaysia secara aman, teratur dan damai.

Baginda berkenan memberi pengampunan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Ketua Umum PKR dan menjalani hukuman penjara selepas kerajaan PH mengambil alih kerajaan pada Mei 2018.

Kepemimpinan berpaksikan rakyat juga menyaksikan baginda memperkenan peruntukan gaji dan emolumen baginda dikurangkan 10 peratus sepanjang pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong kerana prihatin terhadap hutang dan keadaan ekonomi negara.

Baginda berjaya memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan dalam kalangan rakyat sepanjang menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 12:01 PM