ANTARA pendaki selepas selamat turun dari gunung berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


BAKI 12 daripada 18 pendaki yang terkandas di Gunung Batu Putih, Batu 7, Kuala Woh, di Tapah, selamat dibawa turun, jam 11.15 pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari semalam, seramai 18 pendaki Bumi Hijau Hiking Club dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur terkandas selepas seorang pendaki wanita mengalami patah kaki kiri ketika melakukan aktiviti pendakian di gunung berkenaan.

Mangsa yang patah kaki, Intan Baizura Ramli, 38, sudah dibawa turun menggunakan helikopter bomba dan dikejarkan ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Yunus Abu berkata, pihaknya berjaya membawa turun mangsa yang mengalami patah kaki menggunakan helikopter petang semalam.

Katanya, selain itu, lima pendaki berjaya turun sendiri dengan bantuan Orang Asli, malam semalam, sebelum bomba melakukan pencarian untuk mengesan baki 12 pendaki untuk dibawa turun.

“Baki 12 pendaki ditemui jam 1.30 pagi tadi di ‘check point’ kem balak sebelum dibawa turun jam 8.30 pagi.

“Pergerakan membawa turun kesemua mangsa dengan berjalan mengambil masa selama empat jam.

“Kesemua mereka selamat tiba jam 11.15 pagi tadi sebelum operasi ditamatkan jam 12 tengah hari,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Yunus berkata, operasi oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah itu membabitkan keseluruhan anggota sebanyak 40 orang termasuk polis, Jabatan Hutan Negeri Perak serta penduduk kampung.

Berita berkaitan

Pendaki terkandas selamat [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 8:40 PM