KANAK-KANAK berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
Shamsul Kamal Amarudin
shaka@nstp.com.my


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan keluarga kandung atau waris seorang kanak-kanak lelaki yang ditinggalkan berbungkus kain batik di tepi jalan di Sungai Siput, kira-kira empat tahun lalu.

Penolong Pegawai JKM Sungai Siput yang juga Pelindung kanak-kanak itu, Norashikin Abdul Hamid berkata, kanak-kanak itu yang diberi nama Danial Rayyan kini sudah berusia empat tahun, dan akan diserahkan kepada keluarga angkat jika waris atau keluarga kandungnya tidak muncul.

“Ketika ini, kanak-kanak itu dijaga oleh keluarga pelihara di Selangor sejak tiga tahun lalu mengikut Seksyen 30 (1)(e) Akta Kanak-kanak 2001.

“Oleh itu, sekiranya waris atau keluarga kandung tidak muncul dalam tempoh seminggu ini, JKM akan memohon suatu perintah menyerahkan kanak-kanak itu kepada keluarga pelihara berkenaan untuk dijadikan anak angkat mengikut Seksyen 30(4) akta sama.

“Permohonan itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Isnin depan,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Akhbar pada 23 Mei 2015 melaporkan seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan berhampiran rumah seorang penduduk di Kampung Tersusun Sungai Buloh 2, Sungai Siput.

Dalam kejadian jam 7.10 pagi, bayi yang hanya dibungkus dengan kain batik sebagai selimut itu ditemui seorang penduduk yang dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Wan Jamil Wan Chik dilaporkan berkata, bayi itu dibawa ke hospital bagi memotong tali pusat. Sementara uri dan sampel darah diberikan kepada pegawai penyiasat untuk disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Norashikin berkata, selepas bayi itu diserahkan kepada JKM pada tahun dia ditemui, pihaknya menempatkannya di Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz Kuala Kangsar, sebelum diserahkan kepada keluarga pelihara pada Jun 2016.

Beliau berkata, JKM memohon supaya ibu bapa atau waris kanak-kanak itu tampil ke Pejabat JKM Sungai Siput atau menghubungi pejabatnya di talian 05-5985517 untuk urusan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 8:23 PM