Tertuduh hanya dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 20 sebatan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my

PENUNTUT tahun akhir sarjana muda sebuah universiti di negeri ini terlepas hukuman gantung selepas tuduhan memiliki 527 gram dadah jenis kanabis dipinda di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini.

Berikutan itu, Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 20 sebatan selepas tertuduh, Muhammad Izzat Sharifuddin, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan itu.

Dia ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Izzat didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 527 gram di sebuah rumah di Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus, pada 10.20 pagi, 11 Disember 2017.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 5:06 PM