TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menunjukkan kemaluan kepada seorang gadis yang juga penuntut sebuah institut pengajian tinggi awam.

Tertuduh, Muhammad Hafizan Ismail, 24, dari Marang mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Huda Akmal Mohamed.

Pendakwaan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perkataan atau isyarat yang mengaibkan kehormatan seseorang

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan gadis berusia 19 tahun dengan sengaja menunjukkan kemaluannya agar dapat dilihat mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh itu di dalam lif sebuah pangsapuri Kampung Tiong, di sini, jam 5 petang pada 14 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 11 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang lelaki gila seks bertindak luar batasan apabila menunjukkan kemaluannya kepada tiga gadis bagi melepaskan keinginan nafsunya dalam kejadian berasingan di sebuah pangsapuri di bandar raya ini.

Suspek ditangkap susulan laporan polis dibuat salah seorang mangsa yang bimbang keselamatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 4:43 PM