DR AHMAD Samsuri (empat kanan) bersalaman bersama Wakil Bupati Lombok Utara Dr H Najmul Akhyar SH MH (enam kanan) sempena Program Lawatan Bupati Kabupaten Lombok Utara ke Terengganu di Wisma Darul Iman. FOTO Ghazali Kori
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my


KERAJAAN Terengganu dan Lombok Utara, Indonesia akan menjalin kerjasama dalam tiga sektor utama merangkumi pelancongan, perikanan dan pendidikan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu dan Lombok memiliki persamaan dalam tiga bidang utama itu yang sekali gus patut dimanfaatkan menerusi jalinan kerjasama strategik dua pihak terutama dalam mengembangkan lagi potensi ekonomi.

“Kita sudah maklumkan pada EXCO supaya bermula hari ini kita teroka dulu dan cuba sediakan perbincangan untuk menjalinkan kerjasama ini.

“Insya-Allah pertengahan tahun ini Terengganu pula akan mengadakan kunjungan hormat ke Lombok,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat dan lawatan Bupati Kabupaten Lombok Utara ke Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, Terengganu dan Lombok mempunyai jajaran pantai serta pulau panjang, selain demografi masyarakat nelayan yang banyak persamaan.

“Kita akan bekerjasama supaya pelancong Lombok datang ke Terengganu serta pelancong Terengganu akan pergi ke Lombok dan ini akan meluaskan rangkaian pelancongan kedua-dua pihak.

“Daripada segi sektor perikanan dan nelayan pula, Lombok Utara mempunyai industri perikanan yang besar dan kurang terdedah kepada masalah monsun berbanding Terengganu.

“Justeru kita akan akan lihat bagaimana jika kita boleh mendapatkan bekalan ikan dari wilayah ini kerana selama ini kita bergantung pada bekalan ikan sejuk beku dari negara luar terutama pada sepanjang musim tengkujuh,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, rombongan itu juga berminat untuk menghantar pelajarnya ke institusi pengajian tinggi di negeri ini bagi mengikuti kursus yang bersesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 4:41 PM