ORANG ramai tidak melepaskan peluang membayar saman tertunggak yang diberi diskaun 50 peratus sempena Hari Bertemu Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi. FOTO Ihsan Polis
Hamzah Osman
cnews@nstp.com.my


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi berjaya mengutip sejumlah RM238,070 bayaran 2,079 saman daripada pesalah lalu lintas sempena tawaran diskaun 50 peratus mulai Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tawaran itu diberi sempena program Hari Bertemu Pelanggan IPD Langkawi yang memberi peluang pesalah trafik menjelaskan bayaran saman tertunggak mereka.

Katanya, program itu mendapat sambutan selepas kaunter bayaran saman menjadi sesak apabila orang ramai berpusu-pusu datang menyemak dan melunaskan saman.

"Program diskaun saman ini diadakan sempena 'PDRM Exploride Langkawi 2019' yang membolehkan orang ramai diberi diskaun saman sebanyak 50 peratus membabitkan pelbagai kesalahan.

"Kebanyakan saman adalah membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan serta halangan lalu lintas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, program yang berakhir semalam, mendapat bantuan seramai sembilan anggota pelbagai pangkat dari IPD Langkawi dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang melicinkan urusan semakan serta pembayaran saman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 11:57 AM