STATUS yang dikongsi Najib. FOTO FB Datuk Seri Najib Razak dan Arkib NSTP
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


POLIS dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta bertindak adil terhadap laporan dibuat calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang mendakwa diganggu dalam kempennya.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, calon BN dalam PRK itu membuat laporan bahawa timbalan menteri dari DAP masuk ke dalam keretanya tanpa kebenaran dan cuba merampas telefon bimbit seorang pembantu calon serta mengeluarkan kata-kata kesat petang semalam.

“Jika tuduhan ini benar, ia satu kesalahan jenayah yang serius.

Saya harap pihak polis dan SPR akan menyiasat dan bertindak dengan adil,” katanya dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.

Media melaporkan, calon BN bagi PRK itu, Ramli Mohd Nor hari ini membuat dua laporan polis, termasuk terhadap seorang timbalan menteri.

Dalam laporan pertama, pesara polis berusia 60 tahun itu mendakwa timbalan menteri terbabit menghentikan kenderaan dinaikinya dan pembantu selepas berkempen di sekitar Pos Lenjang dan Pos Titom, kira-kira jam 6 petang semalam.

Laporan polis kedua berkaitan dakwaan penyalahgunaan sumber kerajaan iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan Pahang, yang menurutnya digunakan dalam kempen.

Kedua-dua laporan dibuat di Balai Polis Sungai Koyan.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 7:16 PM