ANNUAR. FOTO Arkib NSTP
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


SETIAUSAHA Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa mendakwa sudah banyak kesalahan yang berlaku dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Namun menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih tidak nampak mengenai perkara terbabit.

“Dah berlambak yang salah dan kantoi, SPR rabun serious (serius) dan tak nampak.

“Maklumlah nama je suruhanjaya... actually (sebenarnya) satu orang je yang buat decision (keputusan) dan sorang tu dah diketahui berpihak kepada satu pihak je,” katanya dalam catatan di Twitter beliau, hari ini.

Media hari ini melaporkan, SPR memandang serius laporan terdapat pihak yang bertanding dalam PRK itu melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pelanggaran itu termasuk penggunaan aset kerajaan dan memainkan sensitiviti bangsa serta agama dalam kempen masing-masing.

Katanya, sepanjang tempoh rasmi berkempen, aktiviti seperti menjamu makan, pemberian hadiah dan barangan, mengadakan program kerajaan, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan untuk meraih undi tidak boleh dilaksanakan.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 6:59 PM