MOHD Amar. FOTO Syamsi Suhaimi
Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my


KERAJAAN Kelantan menegaskan pihaknya tidak boleh menyekat atau menghalang mana-mana penduduk yang mahu berkahwin dengan warga asing termasuk Pakistan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tiada peraturan yang boleh menyekat perkara itu setakat ini.

“Soal berkahwin hak masing-masing, kita tidak boleh menyekat sekiranya mereka mahu berkahwin dengan warga asing atau sesiapa saja. Sekiranya kita halang, mesti mereka akan marah.

“Wartawan sendiri pun akan marah sekiranya kami halang kamu berkahwin. Bagi saya tidak ada alasan untuk kerajaan negeri mengawal atau menyekat penduduk berkahwin kerana itu hak masing-masing.

“Jika ada warga asing yang berkahwin dengan penduduk tempatan untuk membuka perniagaan, Jabatan Imigresen perlu mengambil langkah sewajarnya termasuk memperketat syarat untuk menyambung visa,” katanya ketika sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, lelaki warga asing terutama Pakistan sanggup ‘membutakan mata’ memilih wanita tempatan sebagai pasangan hidup termasuk yang berusia semata-mata mahu tinggal di negara ini dan membuka perniagaan.

Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Azhar Abdul Hamid dipetik berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya membatalkan 15 permohonan dibuat warga asing kerana mereka hanya menggunakan isteri yang juga penduduk tempatan untuk membuka perniagaan.

Beliau dipetik berkata, Jabatan Imigresen melakukan lawatan dari semasa ke semasa bagi memastikan warga asing itu tidak mempergunakan penduduk tempatan untuk membuka perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 6:48 PM