LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
BERNAMA

KEJADIAN kenderaan terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang awal pagi semalam, adalah insiden kelima berlaku di jambatan berkenaan dalam tempoh 2010 sehingga kini.

Dalam kejadian terbaharu ini, kereta dipercayai dipandu penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, hilang kawalan selepas dilanggar sebuah kereta lain di jambatan itu sebelum terhumban ke laut, 2.54 pagi semalam.

Sehingga 3 petang ini, gerakan mencari masih gagal menemukan mangsa.

Berdasarkan rekod diperoleh BERNAMA, kejadian pertama seumpama itu dilaporkan berlaku pada 20 September 2010 apabila suami isteri muda maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh besi selusur Jambatan Pulau Pinang sebelum jatuh ke laut dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi.

Dalam insiden kedua pada 1 November 2012, seorang kerani akaun maut apabila kenderaan dipandunya terbabas merempuh tembok dan terjunam ke dalam laut di KM7.9 jambatan itu yang menghala ke Georgetown dalam kejadian pada 3.30 pagi.

Mayat Tan Lean Loon, 24, ditemui di tempat duduk pemandu dalam keadaan masih bertali pinggang keledar dan kerja-kerja mengangkat kereta dan mangsa berakhir pada 12.15 tengah hari.

Dalam insiden ketiga, seorang lelaki tercampak ke dalam laut setelah motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah motosikal lain di KM1.4 Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian 9.30 pagi pada 30 Oktober 2015. Mangsa Mohammad Noor Firdaus Yahya, 24, hanya cedera ringan apabila badannya terbenam dalam lumpur di bawah jambatan itu.

Dua minggu selepas itu, pada 12 November 2015, seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan menyebabkannya tercampak jatuh ke laut dari Jambatan Pulau Pinang di KM 0.6 menghala ke Perai dalam kejadian pada 5.49 pagi.

Berikut adalah kronologi kejadian kemalangan di Jambatan Pulau Pinang menyebabkan mangsa dan kenderaan terhumban ke laut dalam tempoh 2010 sehingga kini:

*20 September 2010: Suami isteri muda maut selepas kenderaan MPV yang dinaiki mereka merempuh besi selusur Jambatan Pulau Pinang dalam satu kemalangan kira-kira 1.30 pagi.

*1 November 2012: Seorang kerani akaun maut apabila kenderaan dipandunya terbabas merempuh tembok dan terjunam ke laut di KM 7.9 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Georgetown dalam kejadian 3.30 pagi.

*30 Oktober 2015: Seorang lelaki tercampak ke dalam laut setelah motosikal ditunggangnya bergesel dengan motosikal lain di Kilometer 1.4 Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian 9.30 pagi. Mohammad Noor Firdaus Yahya, 24, hanya cedera ringan apabila badannya terbenam dalam lumpur di bawah jambatan itu.

*12 November 2015: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas menyebabkannya tercampak jatuh ke laut dari Jambatan Pulau Pinang di KM0.6 menghala ke Perai dalam kejadian 5.49 pagi.

*20 Januari 2019: Sebuah kereta dipandu seorang penuntut kolej swasta terhumban ke laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di KM4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dalam kejadian pada 2.54 pagi Isnin.

Berita berkaitan

SUV putih sudah ditemui

Hormati keluarga mangsa - Ketua Polis Pulau Pinang

Pemandu SUV dan Toyota Vios adalah rakan

Identiti pemandu SUV putih dikenal pasti [METROTV]

SUV terjunam: Pemandu Vios positif ganja [METROTV]

SUV terjunam: Operasi SAR diteruskan

Vios, SUV dipandu laju - Polis

[UPDATE] Terus kesan SUV putih tercampak ke laut [METROTV]

'Kereta tercampak ke dalam laut [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 6:35 PM