LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


PERLIS diletakkan dalam situasi berjaga-jaga biarpun masih bebas daripada wabak Chikungunya susulan wabak berkenaan kini sedang teruk melanda Wilayah Hatyai, Thailand.

Pengarah Jabatan Kesihatan (JKN) Perlis, Dr Sirajuddin Hashim berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima laporan kesihatan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand berhubung wabak Chikungunya.

“Kita belum menerima sebarang laporan atau kes mengenai wabak berkenaan di Perlis, bagaimanapun kita masih mengambil langkah berjaga-jaga.

“Chikungunya di Perlis hanya berlaku tahun lalu dan itupun hanya satu kes yang membabitkan seorang pesakit kerana penyakit ini tidak seteruk denggi,” katanya dalam sidang media di Jabatan Kesihatan Negeri, hari ini.

Sebelum ini media tempatan Thailand, Bangkok Post melaporkan, virus Chikungunya iaitu jangkitan yang biasanya berlaku di Afrika dikesan berlaku di Hatyai.

Menurut laporan media itu, berpuluh-puluh pesakit mendapatkan rawatan di sebuah klinik di bandar berkenaan akibat jangkitan virus berkenaan sehingga JKN Perlis mengambil langkah berjaga-jaga di pintu sempadan Malaysia - Thailand yang menjadi tumpuan pelancong.

Sirajuddin bagaimanapun enggan mengulas mengenai rakyat negeri ini yang sering mengunjungi Hatyai meskipun wilayah berkenaan kini sedang dilanda wabak berkenaan.

“Seperti yang saya katakan, kita belum menerima sebarang laporan rasmi daripada pihak di sebelah sana (Thailand) jadi saya enggan ulas perkara ini.

“Adalah lebih elok jika pihak kementerian yang berkaitan mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Sementara itu, mengenai wabak rabbies, Sirajuddin berkata, Perlis juga bebas daripada sebarang wabak rabbies selepas ia muncul semula di Perak, awal bulan lalu.

Berita berkaitan

Wabak chikungunya landa Hatyai, Perlis berjaga-jaga

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 6:00 PM