Aminuddin (tengah) bersama sekumpulan pendaki di puncak Gunung Angsi. FOTO Ihsan Pembaca.
Nur Aqidah Azizi
nur@nstp.com.my

“APABILA saya naik (daki) sendiri, barulah saya dapat melihat betapa cantiknya Gunung Angsi dan perlunya kita menjaga dan menaik taraf kawasan ini supaya ia dapat dinikmati bersama,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berjaya menawan puncak gunung itu yang terletak di Kuala Pilah, hari ini selepas memulakan pendakian pada 7.50 pagi bersama isterinya, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof dan empat anak, Nur Amalina, 25; Mohd Irfan, 20, Nur Athira Basyirah, 17, dan Mohd Farid Hazim, 12.

Katanya, sangat berpuas hati dengan ‘wajah baharu’ Gunung Angsi dan tahap kebersihannya selepas menjalani kerja naik taraf selama sebulan bermula 3 Disember hingga 31 Disember lalu.

“Saya yakin Gunung Angsi boleh menjadi salah satu produk utama pelancongan Negeri Sembilan dan kerajaan negeri sudah merancang banyak lagi tambah baik kawasan ini untuk menarik minat pelancong tempatan dan luar negara.

“Selain itu, rancangan mempromosi gunung ini dan beberapa kawasan pendakian lain giat dilakukan menerusi Jabatan Perhutanan negeri dan agensi berkaitan, sepanjang tahun ini.

“Tujuannya untuk merancakkan lagi industri pelancongan di Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sebulan lalu, trek Gunung Angsi ditutup untuk membolehkan pembinaan wakaf baharu yang menggantikan pondok lama di puncak gunung, pembinaan pondok dan kerusi di beberapa ‘check point’ di sepanjang laluan selain penukaran tali dan tangga besi di dua trek bermula di Jalan Lama Bukit Putus dan Hutan Lipur Ulu Bendol.

Terdahulu, Aminuddin berkata, tidak menyangka dapat menamatkan pendakian ke puncak gunung setinggi 825 meter dari aras laut itu tanpa masalah, walaupun mengambil masa dua jam.

“Perancangan mendaki ini spontan dan tidak dirancang kerana saya baru menjalani pembedahan jantung pada Oktober lalu. Cumanya saya mahu melihat sendiri ‘wajah baharu’ Gunung Angsi.

“Apabila saya melihat ramai pendaki daripada pelbagai lapisan umur, saya jadi bersemangat meneruskan pendakian sampai ke puncak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 5:57 PM