GUAN Eng. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor
cnews@nstp.com.my


KEMENTERIAN Kewangan menjelaskan kutipan cukai langsung negara yang dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) tahun lalu adalah berkaitan pengenaan cukai pendapatan yang diterima pada 2018 iaitu selaras pelaksanaan sistem taksiran tahun semasa.

Menterinya Lim Guan Eng berkata, kutipan cukai langsung berjumlah RM137.035 bilion dalam 2018 adalah berpunca daripada pengenaan cukai terhadap komponen syarikat, individu, petroleum, cukai keuntungan harta tanah, duti setem, cukai pegangan dan cukai daripada aktiviti perniagaan Labuan.

“Peningkatan kutipan sebanyak 11.13 peratus atau RM13.72 bilion tahun lalu adalah pencapaian daripada kutipan pada 2018 berdasarkan taksiran dan perkembangan ekonomi yang berlaku pada tahun sama.

“Ia bukanlah berdasarkan taksiran ekonomi pada 2017 seperti dakwaan sesetengah pihak, sebaliknya ia mencerminkan pengukuhan dan perkembangan ekonomi serta pengenalan tadbir urus kerajaan yang bersih berasaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti, dan Telus (CAT).

“Dakwaan kutipan cukai 2018 tidak mencerminkan situasi semasa ekonomi atau tidak disumbangkan oleh pendekatan berkesan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebaik sahaja mengambil alih kerajaan adalah tidak tepat malah, bertentangan dengan sistem percukaian yang diperuntukkan di bawah undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Katanya, sistem percukaian negara, khususnya pengenaan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (berkaitan komponen syarikat, koperasi dan individu) sudah lama bertukar kepada sistem taksiran tahun semasa dan bukan lagi sistem taksiran tahun sebelumnya.

Malah, katanya, ia sudah dikuatkuasakan sejak tahun taksiran 2000.

Selain itu, menurutnya, pertukaran kepada sistem taksiran tahun semasa bagi cukai pendapatan petroleum yang dikenakan di bawah Akta Cukai Pendapatan (Petroleum) 1967 juga mula berkuat kuasa daripada tahun taksiran 2010.

Guan Eng berkata, berdasarkan sistem taksiran tahun semasa, cukai yang dibayar dalam suatu tahun, contohnya oleh syarikat bagi tahun 2018, adalah berdasarkan kepada anggaran cukai yang kena dibayar oleh syarikat untuk pendapatan yang diterima dalam tahun 2018.

Menurutnya, anggaran cukai yang kena dibayar bagi 2018 perlu dikemukakan kepada LHDN dalam tempoh 30 hari sebelum bermulanya tahun berkenaan dan ansuran hendaklah dibayar sepanjang 2018 berdasarkan kepada anggaran cukai yang sudah dibuat.

“Kutipan cukai keuntungan harta tanah dan duti setem juga tidak berkaitan dengan situasi percukaian tahun sebelumnya. Ini adalah kerana cukai atau duti bagi pelupusan sesuatu aset dikenakan dalam tahun pelupusan itu dilakukan.

“Begitu juga duti setem terhadap instrumen atau perjanjian, duti akan dikenakan dalam tahun instrumen atau perjanjian itu dilaksanakan atau ditandatangani.

Katanya, prestasi kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang melebihi jangkaan juga memberikan gambaran perkembangan ekonomi yang berlaku pada 2018.

Guan Eng berkata, kementerian akan terus bersikap telus dan jujur dalam membuat kenyataan berkenaan keadaan ekonomi negara berpandukan fakta dan angka yang tepat.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan semalam memaklumkan, kutipan kasar cukai langsung negara oleh LHDN pada tahun 2018 meningkat sebanyak 11.13 peratus kepada 137.03 bilion berbanding RM133.7 bilion pada tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 3:38 PM