HIRWAN (tengah) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengugut mahu membunuh bapanya pada 9 Januari lalu. FOTO Muhamamad Zuhairi Zuber.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


PADAH mengugut mahu membunuh bapanya, seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Hirwan Aman, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah iaitu menendang pintu dengan kuat dan menyebut ugutan secara lisan ‘nanti tunggu, memang aku akan tikam abah sekali lagi’ terhadap ibunya yang berusia 64 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Bukit Darat, pada 7.30 malam 9 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Intan Liyana Zainal Abidin yang melakukan pendakwaan mencadangkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya mendiamkan diri ketika diminta untuk membuat rayuan jaminan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 4 Mac depan untuk tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 3:20 PM