Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


LELAKI yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Ketua Negara’ dan pemilik Kerajaan Malaysia dibebaskan dengan jaminan polis selepas tahanan remannya yang bermula 13 Januari lalu berakhir hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, lelaki berusia 46 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selama sebulan dengan seorang penjamin yang juga bapa mentua suspek.

“Suspek dilepaskan hari ini memandangkan kertas siasatan masih belum lengkap dan tempoh reman sudah tamat hari ini,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurutnya, kes terbabit akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.

NSTP pada 13 Januari lalu melaporkan suspek mengadakan sidang media di lokasi inap desa di Sungai Rambai, Jasin dan mendakwa memiliki kekayaan negara ini serta kepentingan di beberapa negara lain di dunia.

Malah, suspek juga mendakwa mempunyai harta kekayaan dan wang trilion dolar di beberapa negara termasuk Hong Kong, China, Kemboja, Bangladesh dan Thailand.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan setakat ini, polis merakam percakapan 20 individu bagi membantu siasatan ke atas suspek yang mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes penipuan, curi dalam bangunan dan gagal memberi keterangan sebelum ini di Perak.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Ketua Negara' sudah ditahan

'Ketua negara' disiasat polis [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 5:41 PM