Akaun FB ADUN Bekenu yang digunakan individu tertentu untuk memperdayakan mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@nstp.com.my


PELBAGAI taktik licik digunakan sindiket penipuan atas talian atau ‘scammer’ termasuk kes terbaru menyamar wakil rakyat bergelar ‘Yang Berhormat’ untuk memperdayakan mangsa.

Modus operandi itu terbongkar susulan kewujudan akaun Facebook (FB) menggunakan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Rosey Yunus, mendakwa kononnya wakil rakyat itu mahu menyalurkan sejumlah peruntukan untuk program kebajikan.

Ia didedahkan usahawan, Matassan Rohani, 31, selepas dihubungi seorang individu dipercayai pengendali akaun FB berkenaan, Jumaat lalu.

Beliau berkata, individu terbabit menggunakan nama dan gambar sama seperti akaun rasmi ADUN berkenaan dan memberitahu akan menyalurkan bantuan kepadanya kononnya untuk kebajikan rakyat.

“Individu terbabit menyatakan sejumlah AS$150,000 (RM616,877.78) diperuntukkan untuk bantuan pesara, bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) dan bantuan persekolahan.

“Bagaimanapun, saya diminta menghubungi satu nombor kononnya sebagai ‘ejen tuntutan’ bagi mendapatkan peruntukan itu.

“Selepas dihubungi, sindiket berkenaan meminta saya membuat sejumlah bayaran dulu sebelum peruntukan itu dapat disalurkan,” katanya.

Katanya, taktik sama digunakan oleh ‘scammer’ yang sering memperdayakan orang ramai sebelum ini.

Sementara itu, Rosey melalui laman rasmi FB miliknya turut menafikan beliau memberi sebarang peruntukan seperti didakwa malah laporan polis juga sudah dibuat berhubung kejadian itu di Balai Polis Gita Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 3:05 PM